Tuhan Mesti Adil Atau Maha Adil

Setiap agama pasti mengangkat Tuhan mereka pada sifat yang paling tinggi, paling kuat, paling kaya, paling berkuasa, paling baik dan paling adil. Sifat-sifat ini bagi menunjukkan bahawa Tuhan itu sangat sempurna manakala manusia sangat lemah. Ini juga bermakna manusia akan mengharapkan kekayaan, kekuasaan, kebaikan dan keadilan daripada tuhan bukannya manusia.

Berkenaan dengan sifat adil. Apakah yang dimaksudkan dengan Tuhan bersifat adil? Adil dalam menghukum? Adil dalam mengurniakan sesuatu?

Tuhan Kristian yang Adil
Penganut kristian percaya bahawa Tuhan terdiri daripada tiga unsur. Tuhan Bapa yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tuhan Anak yang bernama Jesus merupakan Tuhan yang muncul dalam bentuk manusia dan yang terakhir adalah Tuhan Roh Suci yang menjadi penghubung antara Tuhan Bapa di Syurga dan Tuhan Anak di Dunia. Hakikatnya ketiga-tiga Tuhan itu adalah satu namun muncul dalam watak yang berbeza. Inilah konsep Trinity yang sangat sukar dijelaskan hatta oleh 'ulama' kristian sendiri.

Penganut Kristian meyakini bahawa Tuhan bersifat dengan kasih sayang dan keadilan. Buktinya Tuhan Bapa menciptakan alam ini kerana sifat kasih sayang beliau. Setelah Adam, manusia yang pertama dicipta melanggar larangan Tuhan dengan memakan buah larangan ketika berada di syurga, beliau mesti menerima hukuman atas kesalahan yang serius itu.

Sememangnya Tuhan sangat sayang kepada manusia, namun apakan daya, Tuhan mesti bersifat adil. Setiap kesalahan mesti dihukum. Adam melakukan kesalahan yang sangat besar. Kesalahan itu kemudian diwarisi oleh keturunan beliau sehinggalah terlalu banyak dosa yang tersebar. Manusia semakin berdosa dengan Tuhan.

Namun oleh kerana Tuhan sangat adil, semua kesalahan mesti dibalas atau dihukum.
Walaubagaimanapun tiada nilai yang mampu ditebus untuk semua ini. Kesalahan manusia terlalu berat dan diwarisi ntah berapa banyak keturunan.

Akhirnya muncullah Jesus, anak Tuhan yang datang ke bumi ini untuk menyebarkan kasih sayang Tuhan bapa kepada manusia. Walaubagaimanapun misi beliau yang paling besar adalah berkorban nyawa semata-mata untuk menebus dosa manusia. Nyawa Tuhan yang tinggi nilainya layak untuk membebaskan semua dosa yang membelenggu manusia.

Akhirnya Jesus mati disalib. Nyawa beliau yang suci itu ditebus dengan segala dosa manusia.

Itulah kisah keadilan Tuhan bapa dan pengorbanan Tuhan anak yang begitu menyayat hati.

Allah Mesti Adil Dalam Menghukum
Dalam sejarah islam terdapat beberapa mazhab yang lahir akibat perbezaan pendapat dalam bab akidah. Antaranya mazhab Muktazilah. Dalam memahami sifat keadilan Allah, kita agak berbeza dengan mereka.

Bagi Muktazilah, Allah mesti adil dalam menghukum. Setiap manusia yang melakukan dosa mesti dibalas dengan neraka. Setiap manusia yang melakukan kebaikan mesti diberi ganjaran pahala. Inilah sifat adil Tuhan.

Maka, muktazilah menolak mereka yang melakukan dosa besar masuk syurga bahkan mereka akan kekal di neraka selama-lamanya jika tidak sempat bertaubat. Begitu juga mereka menolak syafaat orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk dikurniakan kepada orang lain.

Umpamanya hadith yang menceritakan orang yang syahid, orang yang menghafal Al-Quran dan orang yang alim mampu memberi syafaat serta menarik orang lain masuk ke syurga.

Ini ditentang oleh Muktazilah. Mereka yang jahat jika tidak bertaubat di dunia pasti tidak akan ada ruang kemaafan langsung hatta daripada Allah sendiri! Allah mesti menghukum mereka.

Tuhan Maha Adil, Maha Penyayang
Ummat islam yang mengikut fahaman ahli sunnah wal jamaah meyakini bahawa Tuhan itu adil dalam menghukum. Walaubagaimanapun, Allah berhak melakukan apa sahaja yang beliau inginkan termasuk mengampunkan sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Begitu juga Allah berhak memberi kepada orang-orang tertentu syafaat yang mampu menyelamatkan orang lain kelak di akhirat.

Berkenaan dengan keadilan Tuhan dalam menghukum, ini termasuk dalam perkara akhirat yang tidak diketahui oleh manusia. Keadilan itu memang manusia tahu, namun bagaimana Allah berlaku adil, itu semua tiada siapa yang mengetahui. Ataupun bahasa yang paling layak, itu hak Allah, tidak perlu manusia ingin menyibuk, apa yang penting manusia mesti berusaha mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah.

Sebenarnya, walaupun Allah bersifat adil, namun dalam masa yang sama Allah bersifat maha pengampun dan maha memberi rahmat. Keampunan Allah melebihi kemarahanNYA.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadith menceritakan bagaimana setiap amalan kebaikan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda, bahkan jika kita berniat ingin melakukan kebaikan terus mendapat pahala. Ini berbeza dengan dosa dan kesalahan, tidak ada satu pun ayat dan hadith yang menyebut dosa kita akan digandakan. Bahkan jika kita berniat jahat tanpa melakukannya tidak akan ditulis dosa.

Adakah Allah tidak adil?

Bahkan Allah maha pemurah, pengasih, pengampun dan 96 lagi sifat-sifat kesempurnaan yang lain..

Monday, February 7, 2011 at Monday, February 07, 2011

0 Comments to "Tuhan Mesti Adil Atau Maha Adil"

Post a Comment