Persediaan Menyambut Ramadhan

Puasa merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima. Puasa bukan sahaja menahan diri daripada tidak makan dan minum disiang hari tatapi hendaklah menepati dan mematuhi segala syarat-syarat dan rukun-rukunnya termasuk perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa. Puasa adalah suatu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap muslim yang mukalaf dan tiada keuzuran syari', puasa dapat membentuk peribadi seseorang itu benar-benar bertakwa kepada Allah dan hidup dengan semangat yang tinggi bagi membela manusia terutama yang kurang bernasib baik dalam membentuk musyarakat dengan penuh sifat kasih sayang dan tolong menolong. Puasa juga mampu membentuk musyarakat yang mulia dan diredhai Allah s.w.t. Puasa juga adalah merupakan satu pendidikan terhadap jiwa dan mampu mengangkat derjat orang yang mengerjakannya dengan kedudukan yang tinggi dan mulai di sisi Allah. Dengan berpuasa manusia dapat mempelajari satu hikmah iaitu bagaimana untuk memperbaiki sikap atau akhlak daripada sifat suka menurut hawa nafsu seperti hidup tertumpu kepada makan, minum dan memenuhkan perutnya sahaja kepada kehidupan yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Justeru, sebagai manusia kita begitu susah untuk memiliki sifat sabar dan kita sentiasa terdorong di bawah runtunan hawa nafsu. Maka, dengan berpuasa jika ia berjaya dilaksanakan ia mampu memupuk kesabaran dan memberikan kekuatan untuk melawan segala kehendak hawa nafsu, sekaligus ia akan mendidik manusia membiasakan diri dengan mengahadapi nerbagai-bagai kesusahan serta teguh mengahadapi rintangan bagi menuju kepada kesempurnaan dan kemuliaan dalam kehidupan seharian, itulah hikmah yang tersembunyi di sebalik ibadah puasa

Seorang yang menjalani ibadat puasa, apakah rahsia yang tersembunyi didalam dirinya yang dapat menghalang ia daripada makan dan minum, kalaulah tidak kerana keimanannya kepada Allah ?. Apakah benteng yang menghalangnya daripada melakukan maksiat, kalau tidak ada keimanannya kepada Allah? Justeru, keimanan seseorang muslim yang mendalam terhadap Allah itulah yang menjadikan dia patuh kepada segala perintah Allah, setiap yang disuruh dikerjakannya dan apa yang dilarang ditinggalkannya. Begitu juga, seseorang akan segera bertaubat, menyesal dan kembali kepada Allah sekiranya melakukan sesuatu larangan yang ditegah oleh Allah. Lantaran itulah keimanan menjadikan kita penuh ikhlas dan suci hati mengerjakan ibadah puasa yang difardhukan. Puasa juga membersihkan jiwa daripada terlampau mengejar dunia dan bermati-matian bertungkus lumus mencari keseronokan hidup. Dengan ini, perasaan cintakan kebendaan tidak berjaya mencengkam ke atas perjalanan hidup manusia sehingga terciptalah satu corak kehidupan yang dipenuhi dengan berbagai kelebihan dan keperibadian yang tinggi, pelbagai hikmat dan fadhilat dapat diperolehi dari berpuasa, antara fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam ibadat puasa telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. didalam surah al-Ankabut ayat 58 Yang bermaksud : " Dan orang-orang yang beriman serta beramal Soleh, kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh ".

Dan Hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi : Maksudnya : " Solat lima waktu yang didirikan satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar ".

Kebanyakan kita telah mengetahui bahawa mengikut ilmu Psikologi setiap orang yang dilahirkan ke alam dunia ini mempunyai beberapa kehendak dan naluri. Justeru, naluri-naluri tersebut perlukan kepada bimbingan dan didikan supaya ia menjadi subur dan berkembang mengikut kehendak yang ditetapkan oleh syariat Islam. Dalam perkara seperti ini langkah yang paling berkesan ialah dengan berpuasa. Dimana dengan berpuasa mengajar manusia supaya makan sekadar yang patut sahaja dan menahan nafsu dari segala keinginan yang bertentangan dengan syariat agama. Selain dari itu seseorang yang berpuasa boleh mencapai puasa yang istimewa dengan enam syarat. Maka sempena kita akan menyambut Ramadan beberapa hari lagi, marilah kita berazam melaksanakannya dengan persediaan berikut :

1. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.

2. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.

3. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram, kerana Allah menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.

4. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.

5. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.

6. Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.

Semoga kita sentiasa berada di bawah rahmatNYA..Amiin

p/s : Perkongsian Daripada Sahabat saya.

Monday, August 2, 2010 at Monday, August 02, 2010 , 0 Comments